Jumat, 09 November 2012

Zaman Naungan Residensi British

Zaman Naungan Residensi British

Penemuan lapisan timah yang terkaya di dunia pada 1824 menarik pemasukan pendatang secara besar-besaran, terutamanya orang Cina. Dikaitkan dengan peraturan yang merumitkan tentang pewarisan serta orang bangsawan yang amat berkuasa, kerusuhan sosial dan politik yang dialami tidak dapat dielakkan. Campur tangan pihak British pada 1874 menyebabkan penyelesaian yang sekurang-kurangnya memperlihatkan tolak ansur, iaitu Sultan dipujuk turun takhta dengan pembayaran pencen supaya waris yang sah boleh dimahkotakan. Seorang Residen British tiba untuk menasihatkan Sultan dan sepasukan polis tentera India diasaskan. Walaubagaimanapun, Residen yang baru itu tidak menerima sambutan yang popular dan beliau terbunuh pada 1877. Malangnya, Sultan yang baru telah terbabit dalam peristiwa ini dan dibuang negeri ke Seychelles. Seorang pemangku raja mengambil alih tempatnya dan sepuluh tahun kemudian diizin menjadi Sultan. Baginda mangkat tidak sampai sebulan selepas baginda menjadi raja.
Warisnya, Sultan Idris, terbukti menjadi salah seorang Melayu yang bijaksana. Negeri Perak menjadi makmur dan maju di bawah pemerintahannya. Keadaan kewangan dikawal dan langkah-langkah pertama untuk membentukkan negeri-negeri bersekutu diambil. Perak menjadi salah satu daripada negeri-negeri pertama yang membentukkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) pada 1897.
Pendapatan negeri Perak merosot apabila harga getah merosot selepas Perang Dunia I. Walaupun Sultan Idris mangkat pada 1916, waris-warisnya terbukti bijak dari segi pandangan. Sultan Iskandar Shah berkhidmat dengan polis NNMB dan memainkan peranan yang penting dalam pengasasan Rejimen Askar Melayu DiRaja pada 1930-an. Perak diserang dan ditewas oleh pihak Jepun pada Hari Raya Tahun Baru 1942. Walaubagaimanapun, Sultan Abdul Aziz, bukan seorang raja yang senang digulingkan.
Negeri Perak memasuki Malayan Union pada 1 Februari 1948. Ia juga ikut serta negeri-negeri lain untuk membentukkan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, dan menjadi salah satu daripada negeri-negeri Malaysia pada 16 September 1963.

Zaman Kesultanan Melayu

Zaman Kesultanan Melayu

Negeri Perak telah wujud sejak zaman pra sejarah lagi, iaitu manusia telah menduduki negeri Perak semenjak 40,000 hingga 8,000 tahun Sebelum Masihi.
Legenda menceritakan tentang sebuah kerajaan Hindu-Melayu yang disebut Gangga Negara di Perak barat laut. penemuan arkeologi menunjukkan bahawa Perak telah didiami sejak zaman prasejarah.
Sejarah Kesultanan Perak bermula pada 1528 dengan kemahkotaan Sultan Muzaffar Shah I, keturunan Sultan Mahmud Shah dari Melaka. Oleh demikian, Kesultanan Perak adalah keturunan secara langsung daripada Kesultanan Melaka.
Walaupun wangsa itu bermula dengan nasib yang baik, nasib itu tidak dapat dikekalkan kerana ia menjadi mangsa pihak Aceh, Bugis, Portugis, Belanda, Thailand dan kemudiannya British. Pihak Aceh telah dua kali melarikan Sultan berserta keluarganya ke Aceh, Sumatera.

Pusat pemerintahan

Pusat pemerintahan

Pusat pemerintahan Sultan Perak adalah juga istana Sultan Perak. Istana sultan berubah-ubah dari Hilir Perak hingga ke Kuala Kangsar. Kebanyakan tempat-tempat ini terletak di tebing sebelah kanan Sungai Perak. Di sekitar Kampung Gajah memang banyak sekali makam-makam Sultan Perak.
Di antara pusat-pusat pemerintahan yang ada tercatat di dalam sejarah ialah :-
  1. Tanah Abang - iaitu ditepi Sungai Perak yang sekarang di panggil Air Mati ,di dalam Mukim Bota, Makam Sultan Muzzaffar Shah 1 (Sultan Perak Pertama)
  2. Kota Lama Kanan
  3. Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga,Kampung Gajah
  4. Semat dalam Mukim Senggang,
  5. Bota Kanan atau disebut juga sebagai Brahman Indera
  6. Pulau Tiga, Kampung Gajah
  7. Pulau Cempaka Sari di Parit
  8. Pulau Indera Sakti di kuala Sungai Kinta , Kampung Gajah
  9. Pasir Pulai Indera Mulia , Kampung Gajah
  10. Bandar Baharu , Kampung Gajah - pejabat JWW Birch , British
  11. Pasir Panjang, Kampung Gajah
  12. Durian Sebatang, Teluk Intan - Sultan Abdullah Muhamad Shah 1874
  13. Sayong, Kuala Kangsar
  14. Batak Rabit, Teluk Intan

dan akhir sekali di Bukit Chandan, Kuala Kangsar iaitu semasa zaman Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah di tabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 28.
Sultan Perak dari pertama hingga sekarang.

Lanjutan Kesultanan Melaka

Lanjutan Kesultanan Melaka

Gambaran sejarah Negeri Perak bertambah jelas lagi apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511 dan Sultan Mahmud Shah melarikan diri dan akhirnya menetap di Kampar (Sumatera) dan ditabalkan sebagai Sultan Kampar.
Kewibawaan Raja-Raja Melayu Melaka serta struktur pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka yang begitu sesuai dan berpengaruh di kalangan Negeri-negeri Melayu ketika itu telah mendorongkan orang-orang Perak untuk mengutuskan Tun Saban yang memerintah kawasan Hulu Sungai Perak hingga ke Kuala Temong, bersama-sama Nakhoda Kassim pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di negeri Kampar untuk memohonkan agar seorang daripada putera baginda menjadi Sultan Perak. Permohonan itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah menitahkan putera baginda, Raja Muzzafar supaya berangkat ke Perak dengan di kurniakan segala alat kebesaran warisan kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi Raja di Perak.
Maka belayar lah Rombongan DiRaja menyeberangi Selat Melaka dan apabila sampai di Kuala Sungai Perak di suatu tempat bernama 'Beting Beras Basah', bahtera Raja Muzzafar Shah telah terdampar di atas sebuah beting dan tidak dapat di mudik. Tiba-tiba angin ribut datang dengan laut yang bergelora. Berbagai ikhtiar dibuat namun bahtera baginda tetap tidak berganjak. Maka di situlah baginda berseru dengan melafazkan kata-kata :-
Selilit Tanah Minangkabau, Selengkung Pulau Perca, Dilengkung ular Saktimuna, Sebenarnya Aku keturunan Raja, Jauhkan segala malapetaka, Perpisahan Aku di Selat Melaka....'
Sebaik sahaja baginda habis melafazkan kata-kata itu, tiba-tiba muncul 'JIN' yang sangat besar sahingga mencecah awan yang tinggi. Jin tersebut telah berkata kepada baginda.... Sekiranya Tuanku hendak bersemayam dan memerintah Negeri Perak ini, hendaklah Tuanku buangkan Mahkota Tuanku kedalam laut......
Maka Raja Muzzaffar pun mengambil mahkota baginda dan dibuangkan kedalam laut. Secara tiba-tiba laut yang bergelora menjadi tenang dan beting yang timbul hilang dari pandangan. Satelah itu barulah bahtera baginda boleh belayar semula dan mudik ke Air Mati. Disana lah baginda di tabalkan dan tempat baginda bersemayam itu dinamakan Tanah Abang.
Daripada keturunan Sultan Muzzaffar Shah inilah wujudnya jurai keturunan Kesultanan Negeri Perak yang terus menerus memerintah hingga ke zaman sekarang. Pusat-pusat pemerintahan Sultan-Sultan Negeri Perak tidak menetap di suatu tempat sahaja bahkan sering bertukar dari suatu tempat ke suatu tempat jika keadaan memaksa atau ada tempat-tempat lain yang lebih sesuai.

Kerajaan Purba

Kerajaan Purba

Menoleh kembali ke zaman silam Negeri Perak akan terjelmalah berbagai-bagai gambaran cetusan sejarahnya yang menjadi mutiara pusaka bumi Perak yang tiada ternilai harganya. Sebagai salah sebuah Negeri Melayu yang tertua, Negeri Perak telah melalui liku-liku zamannya sejak sebelum menjelangnya tahun masehi lagi.
Sebelum munculnya nama "Negeri Perak" Kitab "Sejarah Melayu" ada menceritakan nama-nama kerajaan atau negeri seperti Gangga Negara yang sekarangnya terletak di jajahan Dinding, Beruas dan Manjung yang masih kekal namanya hingga sekarang. Penemuan monumen-monumen bersejarah peninggalan zaman tersebut telah menggambarkan kegemilangan sejarahnya tersendiri yang masih tersembunyi dari penglihatan dan pengamatan generasi di zaman moden ini.

Prasejarah Asal Usul Nama

Prasejarah

Penemuan arkeologi di Kota Tampan di Lenggong membuktikan terdapatnya penempatan manusia Zaman Batu Lama Tanah Melayu.
Malah satu rangka fosil telah dijumpai yang digelar Perak Man. Jumpaan dari carigali menunjukkan negeri Perak diduduki secara terus menerus sepanjang Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam.
Selepas itu Perak juga dijangkakan mengalami zaman Hindu/Buddha, yang tersebar secara menyeluruh semua kawasan di Tanah Melayu.

Asal Usul Nama

Berbagai-bagai tafsiran telah dibuat mengenai pengambilan nama "PERAK" sebagai sebuah negeri yang besar.
  • Menurut satu cerita yang menarik sebagaimana yang dititahkan sendiri oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris A'fifullah Shah (Sultan Perak ke-33) mengatakan di zaman kerajaan Melayu Melaka sebelum wujudnya nama NEGERI PERAK, Negeri Perak terbahagi kepada tiga daerah iaitu Beruas, Manjung dan Janin (Hulu Perak di bawah pemerintahan Tun Saban). Manjung dan Beruas dibawah takluk Melaka. Penghulu Manjung ketika itu ialah Tok Mahsuka. Dikatakan ketiga-tiga Ketua Daerah telah bermesyuarat untuk menyatukan daerah-daerah mereka menjadi satu negeri dengan memakai nama yang khusus. Mereka bercadang untuk menamakan MELAKA tetapi didapati tidak begitu sesuai kerana Negeri Melaka masih wujud walaupun dibawah kekuasaan Portugis. Lantas mereka teringatkan pula bahawa salah satu punca utama yang membawa kepada keunggulan, kebesaran dan keharuman nama Melaka ialah peranan dan tanggung jawab Bendahara Tun Perak. Maka ketiga-tiga Ketua Daerah tersebut bersetuju untuk menamakan negeri baru ini sebagai Negeri Perak. Oleh sebab pada ketika itu Negeri Perak belum mempunyai Raja lalu Tok Mahsuka berkehendakkan supaya Negeri baru ini mempunyai Raja yang berdaulat.
  • Hikayat Merong Mahawangsa pula mengatakan bahawa nama Negeri Perak ini ada kaitannya dengan cerita putera Raja Marong Mahapudi Sat yang di katakan telah pergi meneroka untuk membuka sebuah negeri baru, Putera tersebut telah sampai sebuah sungai besar dan terdapat pula bertasik, melingkungi tiga atau empat buah pulau. Putera tersebut telah berkata.. " Tempat ini elok dijadikan sebuah negeri...", lalu baginda pun memanah ke udara dengan menggunakan sebilah anak panah yang diperbuat daripada 'perak' dan busarnya dinamakan 'Indera Sakti'. Apabila anak panah tersebut jatuh terjunam ke atas sebuah daripada pulau-pulau yang berkenaan maka dinamakanlah tempat itu sebagai Pulau Indera Sakti dan negerinya dinamakan Negeri Perak.
  • Dalam cerita-cerita yang lain terdapat juga kisah-kisah saperti : seekor ikan Haruan besar mengicah-ngicah anaknya hingga air sungai menjadi keruh putih berkilat saperti perak.
  • Warna bijih timah yang putih berkilat apabila dipanah cahaya matahari dan berbagai-bagai cerita lagi.
Adunan daripada fakta sejarah dan unsur lagenda hingga terciptanya nama 'Negeri Perak' itu menggambarkan bahawa pemilihan nama "PERAK" itu sangat bertetapan dengan kekayaan khazanah yang dikandungi oleh bumi Perak itu sendiri. Justeru kekayaan ini lah pergolakan sejarah Negeri Perak semakin bergelora satelah empayar Kerajaan Melayu Melaka berpecah pada tahun 1511 dan munculnya kuasa-kuasa Portugis, Acheh, Bugis, Siam, Minangkabau, Belanda dan akhir sekali Inggeris di merata perairan Nusantara ini.

Adat Perpatih

Adat Perpatih

Asal penubuhan Negeri Sembilan adalah oleh Dato' Pepatih Nan Sebatang. Beliau juga merupakan pengasas bagi adat pepatih yang sangat dikenali umum. Seperti yang di ketahui umum, adat pepatih lebih mementingkan kaum wanita daripada lelaki. Pada dasarnya, adat ini adalah adat yang terbaik yang didapat Negeri Melayu dari sistem masyarakat Minangkabau kerana ia sangat mencakupi segala aspek. Keutamaan wanita di dalam adat pepatih sebenarnya lebih kepada mewarisi harta pusaka dan membawa darah keturunan. Berbeza dari kesultanan Melayu di Malaysia pada umumnya, harta dan darah keturunan di warisi oleh kaum lelaki. Menurut adat pepatih, wanita yang mengandungkan dan melahirkan anak maka wanitalah yang membawa darah keturunan kepada pewaris iaitu anaknya. Dari segi harta pula, hanya harta pusaka iaitu termasuk tanah dan rumah induk diwarisi oleh wanita bertujuan agar kaum wanita tidak terabai sekiranya dicerai suami. Namun demikian harta sepencarian adalah milik bersama lelaki dan wanita dan di bahagi mengikut hukum Islam. Hasil positif daripada pengamalan adat pepatih ini, harta pusaka tidak tergadai kerana tidak boleh dijual malah di dalam sesebuah kampung, biasanya terdiri daripada saudara mara kerana tanah pusaka telah dibahagi dari awal keturunan kepada generasi sekarang. Dalam erti kata lain, di dalam sebuah kawasan, biasanya terdiri dari keluarga dari satu keturunan. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Negeri Melayu lain berpegang pada Adat Temenggong. Tetapi Datuk Perpatih dan Datuk Temenggong adalah dua bersaudara di Sumatera dan terus berkembang di Malaysia. Kesultanan Melaka pada kurun ke-15 menjadikan Adat Temenggong menjadi dominan di Alam Melayu. Raja Melaka memberi perlindungan kepada penghijrah dari Minangkabau untuk menetap di Naning. Selepas Portugis menguasai Melaka, perlindungan itu dilanjutkan oleh Kesultanan Johor sebagai pewaris Kesultanan Melaka.[2]