Jumat, 09 November 2012

Lanjutan Kesultanan Melaka

Lanjutan Kesultanan Melaka

Gambaran sejarah Negeri Perak bertambah jelas lagi apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511 dan Sultan Mahmud Shah melarikan diri dan akhirnya menetap di Kampar (Sumatera) dan ditabalkan sebagai Sultan Kampar.
Kewibawaan Raja-Raja Melayu Melaka serta struktur pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka yang begitu sesuai dan berpengaruh di kalangan Negeri-negeri Melayu ketika itu telah mendorongkan orang-orang Perak untuk mengutuskan Tun Saban yang memerintah kawasan Hulu Sungai Perak hingga ke Kuala Temong, bersama-sama Nakhoda Kassim pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di negeri Kampar untuk memohonkan agar seorang daripada putera baginda menjadi Sultan Perak. Permohonan itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah menitahkan putera baginda, Raja Muzzafar supaya berangkat ke Perak dengan di kurniakan segala alat kebesaran warisan kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi Raja di Perak.
Maka belayar lah Rombongan DiRaja menyeberangi Selat Melaka dan apabila sampai di Kuala Sungai Perak di suatu tempat bernama 'Beting Beras Basah', bahtera Raja Muzzafar Shah telah terdampar di atas sebuah beting dan tidak dapat di mudik. Tiba-tiba angin ribut datang dengan laut yang bergelora. Berbagai ikhtiar dibuat namun bahtera baginda tetap tidak berganjak. Maka di situlah baginda berseru dengan melafazkan kata-kata :-
Selilit Tanah Minangkabau, Selengkung Pulau Perca, Dilengkung ular Saktimuna, Sebenarnya Aku keturunan Raja, Jauhkan segala malapetaka, Perpisahan Aku di Selat Melaka....'
Sebaik sahaja baginda habis melafazkan kata-kata itu, tiba-tiba muncul 'JIN' yang sangat besar sahingga mencecah awan yang tinggi. Jin tersebut telah berkata kepada baginda.... Sekiranya Tuanku hendak bersemayam dan memerintah Negeri Perak ini, hendaklah Tuanku buangkan Mahkota Tuanku kedalam laut......
Maka Raja Muzzaffar pun mengambil mahkota baginda dan dibuangkan kedalam laut. Secara tiba-tiba laut yang bergelora menjadi tenang dan beting yang timbul hilang dari pandangan. Satelah itu barulah bahtera baginda boleh belayar semula dan mudik ke Air Mati. Disana lah baginda di tabalkan dan tempat baginda bersemayam itu dinamakan Tanah Abang.
Daripada keturunan Sultan Muzzaffar Shah inilah wujudnya jurai keturunan Kesultanan Negeri Perak yang terus menerus memerintah hingga ke zaman sekarang. Pusat-pusat pemerintahan Sultan-Sultan Negeri Perak tidak menetap di suatu tempat sahaja bahkan sering bertukar dari suatu tempat ke suatu tempat jika keadaan memaksa atau ada tempat-tempat lain yang lebih sesuai.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar